Monday, March 4, 2013

#hiSTORY# Siapa Sultan Sulu Yang Sebenar? Part 2


Bahagian 2-




Kecelaruan mengenai pewaris sebenar yang berhak ke atas takhta Kesultanan Sulu bermula dengan kemangkatan Sultan Jamalul Kiram II pada 1936, Sultan Sulu terakhir yang berdaulat tetapi malangnya tidak mewariskan sebarang zuriat. Sejak daripada tarikh tersebut, muncullah berpuluh-puluh individu sama ada dari Sabah mahupun rakyat Filipina yang mengaku sebagai pewaris dan berhak ke atas kekosongan takhta Kesultanan Sulu, terutamanya daripada keturunan keluarga Kiram. Individu yang membuat tuntutan ini termasuklah mereka yang sebenarnya langsung tiada kaitan dengan institusi Kesultanan Sulu ini (Sekadar menyamar). Sebenarnya selepas kemangkatan baginda, takhta sewajarnya dikembalikan semula kepada keluarga Pewaris Kedua iaitu Keluarga Maharajah Adinda. Justeru itu, mari kita lihat terlebih dahulu senarai ‘Sultan Sulu’ selepas kemangkatan Sultan Jamalul Kiram II, biarpun tidak lagi mempunyai kuasa dan tidak berdaulat, untuk memahami punca pertikaian sebelum meneliti senarai individu utama yang menyamar sebagai ‘Sultan Sulu’:


1) Sultan Mawallil Wasit (1936) : Beliau merupakan adik kepada Sultan Jamalul Kiram II. Empat hari selepas kemangkatan abangnya itu, beliau telah ditabalkan oleh Rumah Bichara (Kabinet atau Majlis Diraja Kesultanan Sulu) untuk menggantikan abangnya. Walaubagaimanapun, beliau hanya sempat menjadi ‘Sultan’ untuk tempoh 6 bulan sahaja sebelum meninggal dunia secara mengejut akibat diracun dan dikebumikan di Maimbung. Setahun kemudian, Presiden Filipina, Manuel L. Quezon telah menyatakan melalui Memorandum bertarikh 20 September 1937 bahawa Kerajaan Filipina tidak akan mengiktiraf mana-mana lagi pewaris daripada Sultan Jamalul Kiram II (Keluarga Pewaris Pertama).




2) Sultan Ombra Amilbangsa (1937-1950) : Beliau merupakan suami kepada Dayang-dayang Hajah Piandao. Dayang-dayang Hajah Piandao ini merupakan anak kepada Sultan Badaruddin dan anak saudara kepada Sultan Jamalul Kiram II. Selepas kematian Sultan Mawallil Wasit, Dayang-dayang Hajah Piandao yang ketika itu bertindak sebagai “Sandah” (pemangku pemerintah), telah mengarahkan rakyat Sulu supaya mengisytiharkan suaminya dari Tawi-tawi, Datu Ombra Amilbangsa, sebagai Sultan Sulu dengan gelaran Sultan Amirul Umara II pada Januari 1937. Datu Ombra ini juga pernah dilantik sebagai Gabenor Sulu. Selepas Perang Dunia ke-2, Datu Ombra Amilbangsa telah bertanding sebagai Ahli Kongres Filipina dan memenanginya (Tidakkah bodoh seorang ‘Sultan’ merendahkan martabatnya dengan menjadi sekadar Ahli Kongres di negara bukan Islam yang telah menjajah wilayahnya???).




3) Sultan Esmail Kiram I (1950-1974) : Beliau merupakan putera kepada Sultan Mawallil Wasit. Memandangkan Sultan Ombra Amilbangsa bukanlah waris langsung dari Kesultanan Sulu, maka Sultan Esmail Kiram I ini telah disepakati untuk dilantik sebagai Sultan Sulu yang seterusnya di Jolo pada tahun 1950. Pada tahun 1962, beliau telah menyerahkan wilayah Borneo Utara dan kekuasaan Kesultanan Sulu kepada Republik Filipina iaitu ketika era pemerintahan Presiden Diosdado Macapagal. (lihatlah sendiri perangai Sultan seorang ini. Lebih rela menyerahkan ‘wilayahnya’ kepada pemerintahan Kristian berbanding ditadbir oleh saudara seIslam di Malaysia). Beliau meninggal dunia di Jolo pada tahun 1974.




4) Sultan Muhammad Mahakuttah Kiram (1974-1980) : Beliau merupakan putera sulung melalui isteri kedua kepada Sultan Esmail Kiram I. Beliau dilantik sebagai Sultan Sulu selepas kematian Sultan Esmail Kiram I kerana Datu Pujungan, yang ketika itu merupakan Raja Muda (setaraf Putera Mahkota), melarikan diri ke Sabah akibat kekacauan yang berlaku di Sulu pada masa tersebut. Apa yang menariknya, beliau ini dilantik secara langsung oleh Kerajaan Filipina di Manila yang ketika itu dipimpin oleh Presiden Marcos. Beliau berdiam di Manila, tinggal di Hotel Aurelio di Mabini, dan menerima elaun serta ditanggung kewangannya oleh Presiden Marcos (Fikirkanlah sendiri!!!). Pada tahun 1980, selepas darurat ditamatkan, Raja Muda Punjungan kembali dari Sabah ke Jolo. Sultan Muhammad Mahakuttah Kiram yang ketika itu turut berada di Jolo bersetuju menyerahkan takhtanya kepada pakciknya, Raja Muda Punjungan sebagai Sultan Sulu dengan gelaran Sultan Punjungan Kiram.




5) Sultan Aliuddin-II (1980-2007) : Nama sebenar beliau adalah Datu Aliuddin Haddis Pabila bin Datu Syeikh ibni Maharajah Adinda Sultan Muhammad Aranan Puyo, dan berasal dari Sabah. Ketika era ‘pemerintahan’ Sultan Muhammad Mahakuttah Kiram, telah berlaku satu peristiwa yang cukup penting. Para ahli keluarga pewaris Kedua mula memahami sejarah sebenar dan menyedari hak-hak mereka. Atas jemputan Pehin Dato’ Haji Awang Mohd. Jamil Al-Sufri, keluarga Pewaris Kedua yang diketuai oleh Datu Aliuddin Haddis Pabila telah meminta pihak Muzium Brunei untuk menjaga Pulau Janggi pada tahun 1978 (Bagi mengelakkan kepalsuan Pulau Janggi dibuat oleh pihak lain). Pulau Janggi yang diserahkan telah diperiksa dan disahkan ketulenannya oleh pihak Muzium Brunei. Pada masa tersebut, beliau telah disahkan sebagai "Pewaris Sultan Sulu yang sebenar" dan di dalam Surat Penerimaan Pulau Janggi yang dikeluarkan oleh pihak Muzium Brunei, beliau telah diisytiharkan sebagai "Sultan Aliuddin-II".


Sultan Aliuddin II


Dengan pertukaran takhta bagi pewaris Keluarga Pertama oleh Sultan Muhammad Mahakuttah Kiram kepada Sultan Punjungan Kiram yang bukan daripada darah di Raja Kesultanan Sulu, maka sahlah permulaan takhta Kesultanan Sulu dikembalikan kepada keluarga Pewaris Kedua (Maharajah Adinda) melalui Sultan Aliuddin-II ini. Pada 17 Disember 2004, Majlis Diraja Sulu sekali lagi telah mengisytiharkan beliau sebagai "Sultan Sulu", namun Majlis Pertabalan tidak dapat dilaksanakan kerana kekurangan sumber kewangan sehinggalah beliau wafat pada 30 Jun 2007.


Gambar Datu Sharif Abd Rahman (Kiri), Datu Jainal Ali ibni Datu Aliuddin (kedua dari kiri), En.Salam (Kedua dari Kanan) dan Datu Aliuddin Haddis Pabila (Kanan) bersama Pulau Janggi (tengah) sebelum diserahkan ke Muzium Brunei pada tahun 1978.


6) Datu Ali Kuyung (2007-kini) : Pengerusi Majlis di Raja Sulu (Pemangku Sultan Sulu buat sementara waktu). Nama sebenar beliau ialah Datu Muhammidul Ali bin Datu Mahmun bin Datu Halun ibni Maharajah Adinda Sultan Muhammad Aranan Puyo. Merupakan anak saudara kepada Datu Aliuddin Haddis Pabila. Biarpun dari segi kekananan generasi, masih terdapat ramai waris lebih tua yang lebih layak, namun beliau merupakan pewaris yang paling layak untuk ditabal sebagai Sultan Sulu yang seterusnya jika ditinjau dari segi kekananan baginda kerana merupakan cicit lelaki sulung kepada isteri pertama Maharajah Adinda Sultan Muhammad Aranan Puyo. Beliaulah yang meneruskan legasi perjuangan Keluarga Pewaris Kedua Kesultanan Sulu pada masa kini. Tidak memakai gelaran ‘Sultan’ kerana telah disepakati tiada siapa pun yang berhak mendakwa diri sendiri sebagai ‘Sultan Sulu’ pada hari ini selagi kesemua waris yang berhak termasuklah yang telah menabalkan diri masing-masing sebagai Sultan Sulu tidak duduk semeja untuk berbincang dan menabalkan seorang sahaja yang benar-benar paling layak dan berhak untuk menjadi Sultan berdasarkan Tartib di Raja Sulu.


Y.M. Datu Ali Kuyung


Sejarah telah tercipta apabila beliau telah berjaya menyatukan Keluarga Pewaris Pertama dengan Keluarga Pewaris Kedua iaitu melalui anakanda Sultan Muhammad Mahakutta Kiram, iaitu Raja Muda Muedzullail Kiram. Telah disepakati bahawa kedua-dua pewaris Kesultanan Sulu ini tidak akan membuat tuntutan terhadap Sabah, yang akan hanya menguntungkan mainan politik Filipina semata-mata. Kini, masa sahaja yang akan menentukan apakah pengakhiran kepada episod tuntutan tahkta Kesultanan Sulu ini. Namun apa yang pasti, jika beliau berjaya memerdekakan kembali Kesultanan Sulu Darul Jambangan (bukannya sibuk menuntut Sabah dan elaun wang pajakan sebagaimana sesetengah individu yang mendakwa diri sendiri sebagai ‘Sultan Sulu’), tiada keraguan lagi beliaulah yang akan ditabalkan secara rasmi kelak sebagai Sultan Sulu.


Datu Ali Kuyung (waris Maharajah Adinda) di sebelah kiri dan Raja Muda Muedzullail Kiram (waris Kiram) di sebelah kanan berjabat tangan selepas menandatangani Perjanjian Penyatuan keluarga pewaris Di Raja Sulu.


Kini kita lihat pula sekali lalu mengenai senarai Sultan Sulu yang terdiri daripada penyamar dan waris yang tidak berhak :


1) Sultan Rodinood Kiram : Dia ‘menyambung’ perjuangan ayahnya iaitu Sultan Julaspi Kiram, yang mendakwa sebagai satu-satunya zuriat tunggal kepada Sultan Jamalul Kiram II dan berhak ke atas takhta Sultan Sulu. Namun, berdasarkan kepada maklumat daripada pesaing-pesaing 'Sultan Sulu' yang lain di Filipina, Julaspi ini adalah anak kepada Hadjirul, salah seorang pengawal (bodyguard) kepada Sultan Jamalul Kiram II, yang telah jatuh cinta dengan isteri muda Sultan Sulu tersebut. Sultan Sulu tidak menjatuhkan hukuman bunuh sebaliknya memberi pengampunan tetapi mereka berdua dibuang ke Pangutaran. Dari hubungan Hadjirul dan isteri muda Sultan Sulu inilah lahirnya Julaspi, yang kemudiannya menuntut takhta Sultan Sulu. Selepas kematian Julaspi di Kampung Maharlika, Taguig, pada tahun 1998, anak sulungnya, Rodinood, meneruskan tuntutan terhadap takhta Kesultanan Sulu. Inilah sebenarnya individu yang sibuk menjual “pingat dan Darjah Kebesaran Sultan Sulu yang membawa gelaran Datuk” di negara kita!!!




2) Sultan Esmail Kiram II dan Sultan Jamalul Kiram III : Kedua-dua mereka ini adalah adik beradik dan anak kepada Sultan Punjungan Kiram. Dikatakan Punjungan ini merupakan anak kepada Sultan Mawallil Wasit. Realiti yang sebenarnya adalah nenek mereka dari Pulau Simunul, Tawi-Tawai, yang bernama Mora Napsa Laga, telah dirampas untuk dijadikan isteri oleh Sultan Mawallil Wasit dalam keadaan telah pun mengandungkan zuriat suaminya yang sebenar, seorang Imam bernama Amil Hamja! Justeru itu, Punjungan ini sebenarnya hanyalah anak tiri kepada Sultan Mawallil Wasit. Selepas kematian Sultan Punjungan Kiram pada tahun 1983, anak sulungnya iaitu Raja Muda Jamalul Kiram III telah ditabalkan oleh para penyokongnya sebagai Sultan Sulu. Walaubagaimanapun, kerana dia tinggal di Manila dan enggan berdiam di Jolo, bertentangan dengan adat Sulu, maka adiknya, Raja Muda Esmail Kiram II kemudian telah dilantik sebagai Sultan pada tahun 2001. Sultan Jamalul Kiram III ini pernah bertanding dalam pilihanraya negara Filipina. Sementara Sultan Esmail Kiram II inilah ‘Sultan Sulu’ yang pernah mengancam untuk melancarkan ‘Perang Jihad’ kepada Malaysia pada tahun 1993 dan 2001 jika Sabah tidak diserahkan kepadanya. Atau sebagai balasannya, bayar sahaja ganti rugi sebanyak USD 10 Bilion kepadanya. (Dapat baca niat sebenar mereka ini???)









3) Sultan Muhammad Fuad Abdulla Kiram : Dia ini tak lebih sekadar salah satu boneka atau lebih tepat lagi anjing suruhan yang digunakan oleh Pemerintah Filipina untuk menuntut Sabah dari Malaysia. Dia merupakan adik kepada Sultan Muhammad Mahakuttah Kiram. Jika benar takta Kesultanan Sulu masih mahu diwariskan kepada keluarga Pewaris Pertama (Kiram), maka sewajarnya takhta tersebut diserahkan kepada Raja Muda Muedzullail Kiram yang merupakan anak lelaki sulung kepada Sultan Muhammad Mahakuttah Kiram. Tambahan pula, masa yang terlalu lama diambil iaitu hanya pada tahun 2006 untuk mengangkat dirinya sendiri sebagai Sultan Sulu. Sangat suka mengutuk Malaysia yang dianggapnya bersikap kejam dan tidak berlaku adil kerana ‘merampas’ Sabah. Tetapi apa yang peliknya, kata-kata dia sangat lunak apabila menyentuh mengenai hal Kerajaan Filipina yang jelas telah menghapuskan kuasa Kesultanan Sulu yang ingin dipegangnya sendiri, malahan sanggup mempertahankan Filipina dan mencerca Malaysia yang lebih bertanggungjawab membela para rakyat Sulu yang datang ke Sabah. Kedangkalan dan kejahilan dia mengenai sejarah dan Tartib (Protokol) Kesultanan Sulu terserlah apabila tidak mengetahui dan menafikan kewujudan dan peranan Pewaris Kedua Kesultanan Sulu.




4) Sultan Syarif Ibrahim Ajibul Pulalun : Dia ini adalah contoh klasik kepada individu-individu yang langsung tiada kaitan tetapi nak juga menyibuk mendakwa sebagai Sultan Sulu. Dia telah menabalkan dirinya sebagai Sultan Sulu dan Borneo Utara pada 20 November 2005 di Grand Astoria Hotel, Mayor Jordan St. Zamboanga City, Filipina, dan menggunakan nama Sultan Syarif Ibrahim Ajibul Mohammad Pulalun Kabayan Manjanay Syarif Abu Bakar. Sebenarnya, datuk kepada dia ni hanyalah seorang Syarif yang pekerjaannya adalah menempa senjata seperti barung (parang) di daerah Parang, Sulu. Datuk dia sangat terkenal dan menurut penduduk tempatan, datuknya adalah orang “keramat” yang mudah mengenakan “tulah” kepada sesiapa yang bertindak menganiayai beliau. Namun begitu, datuknya ini bukanlah berketurunan Raja Sulu. Kebetulan sahaja nama datuknya ialah Syarif Pulalun, yang hampir sama dengan nama salah seorang Sultan Sulu, iaitu Sultan Muhamad Pulalun. Hanya disebabkan itu, dia telah mengambil kesempatan dengan mendakwa datuknya itu adalah Sultan Muhammad Pulalun, lalu mengangkat dirinya sendiri menjadi Sultan Sulu. Latarbelakangnya telah didedahkan sendiri oleh penduduk-penduduk di sekitar daerah Parang yang sangat mengenali semua anggota keluarganya termasuk datuknya itu. Akibatnya, kini tiada seorang pun penduduk daerah itu yang mengiktiraf beliau sebagai Sultan Sulu. Bagaimanapun, sebelum itu, dia telah berjaya menipu ramai pihak termasuklah Kerajaan Filipina sendiri dan memperdaya wakil kerabat di Raja British iaitu Sir Stanley Brandenburg.




5) Sultan Bantilan Muizzudin II : Nama sebenar beliau ialah Datu Ladjamura bin Datu Wasik. Asalnya beliau dihantar ke Sulu oleh Majlis Di Raja Sulu sebagai wakil jurucakap kepada keluarga Pewaris Kedua untuk memberikan penerangan kepada rakyat Sulu mengenai kewujudan Pewaris Kedua dan hak untuk menghidupkan semula Kesultanan Sulu daripada penindasan dan mainan Kerajaan Filipina. Walaubagaimanapun, beliau akhirnya bekerjasama dengan United Tausug Citizen (UTC) sebelum diangkat oleh organisasi tersebut sebagai Sultan Sulu dengan gelaran Sultan Bantilan Muizzudin II. Tindakan ini sangat mengejutkan dan mengecewakan seluruh ahli keluarga Pewaris Kedua. Justeru itu, tiada siapapun daripada kalangan keluarga Maharajah Adinda yang menyokong perlantikannya. Sebagai maklumat tambahan, UTC inilah dalang yang telah mencetuskan kontroversi apabila mengedarkan Sijil Kelahiran Kesultanan Sulu di Sabah satu ketika dahulu.





Surat Perjanjian dan Perlantikan oleh Y.M. Raja Bongsu II kepada Datu Ladjamura sebagai wakil penerangan Keluarga Maharajah Adinda


6) Sultan Aidal Aliuddin : Dia sebenarnya hanya merupakan anak angkat kepada Datu Aliuddin Haddis Pabila. Mengikut salah seorang waris keluarga Maharajah Adinda iaitu Datu Ali Aman, pada suatu ketika dahulu, rumah kediaman Datu Aidal yang terletak berhampiran dengan rumah beliau di Kampung Likas telah terbakar sehingga ranap pada tahun 70-an. Beliau yang ketika itu tidak mempunyai sebarang keterangan diri telah datang kepada Datu Aliuddin dan merayu untuk mengambilnya sebagai anak angkat dan seterusnya memudahkan beliau mendapat pampasan bagi rumahnya yang terbakar itu serta memudahkannya mendapat kerakyatan di negara ini,

Pada tahun 1980-an, Datu Aliuddin telah menuntut haknya sebagai pewaris kesultanan Sulu dan telah menghantar Pulau Janggi (Sepong Janggi), Cop Mohor dan bukti-bukti lain ke Muzium Negara Brunei. Perjuangan beliau ini telah heboh sehingga sampai ke telinga Datu Aidal dan beliau pula dengan rasa bangga teringin nak menuntut hak itu dengan menunjukkan Pulau Janggih yang kononnya di hantar ke muzium Brunei itu akan tetapi Pulau Janggi nya itu bukanlah yang asal kerana bentuknya yang ganjil dan tidak menyerupai Pulau Janggi yang asli (bentuknya seperti buah jambu batu). Hari demi hari dia menipu dan terus menipu rakyat Sulu dan Rakyat Malaysia dengan menjual "Identity Card" dengan harga yang tinggi semata-mata untuk kepentingan beliau sendiri hingga mencemarkan nama baik Kesultanan Sulu.
Disamping itu, semasa perlantikannya sebagai Sultan, seorang ahli perniagaan (namanya dirahsiakan) di Sulu telah muflis akibat penipuannya yang telah menghutang 5 ekor lembu ternakan yang kononnya di jadikan santapan untuk tetamu yang hadir dan yang lebih memalukan lagi ahli perniagaan tersebut telah meninggal dunia tanpa mendapat bayaran dari hutang lapuk Datu Aidal. Selepas Pelantikannya sebagai Sultan yang tidak berdaulat itu, beliau telah lari ke Sabah untuk melindungi dirinya dari terus diburu akibat penipuannya sendiri. Penipuan beliau terbongkar apabila seorang penduduk(namanya dirahsiakan) dari kampung beliau telah mendedahkan semua butir-butir diri Datu Aidal termasuk ayahnya yang sebenar bernama Wahiddun dan ibunya bernama Milling yang tinggal di Tawi-tawi, Sulu.



7) Sultan Ibrahim Bahjin

Dia ini adalah dari Keluarga Shakiraullah, namun hanya berpangkat "Anak Saudara" kepada waris Sultan dari Keluarga Shakiraullah iaitu Sultan Agimuddin Abirin @ Sultan Pitico ibni Sultan Jamalul Abirin ibni Sultan Zainal Abirin. Ironinya, anak-anak kepada Sultan Agimuddin Abirin ini tiada yang tampil membuat tuntutan ke atas takhta kesultanan Sulu. Agak menggelikan hati apabila Dr. Ibrahim Bahjin ini menggunapakai gelaran "Paramount Ruler". Mungkin ingin mengangkat dirinya sendiri melebihi penuntut-penuntut takhta yang lain.







8. Sultan Mudarasulail Kiram : Dia telah mendapat liputan di dada-dada akhbar tempatan pada tahun lepas selepas memohon dana daripada umum sebanyak RM5 Juta bagi membangunkan semula Istana darul Jambangan bagi Kesultanan Sulu. Walaubagaimanapun, menurut seorang kerabat Kesultanan Sulu daripada waris kedua iaitu Datu Muhammad Al-Fazhir, namanya sebenar individu ini ialah Faisal bin Hassan yang berasal daripada Tawi-Tawi, dan merupakan anak seorang pelarian yang membesar di penempatan UNHCR di Kampung Kinarut, Sabah. Dia pernah menyamar sebagai Rajamuda Datu Muedzullail Kiram dengan berlakon kononnya dia telah di hantar oleh ayahnya iaitu Sultan Muhammad Mahakuttah Kiram ke Sabah semasa Sulu berada dalam keadaan darurat akibat perang. Walaubagaimanapun, penipuan tersebut telah terbongkar apabila Rajamuda Datu Muedzullail Kiram sendiri telah tampil untuk berjumpa dengan pewaris-pewaris Kesultanan Sulu yang lain dan menjelaskan hal yang sebenar. Mungkin kerana malu, dia telah menukar namanya kepada Datu Mudarasulail Kiram dan seterusnya mendakwa sebagai waris yang berhak kepada takhta Kesultanan Sulu.




9. Sultan Shariful Hashim II : Dia adalah individu terbaru yang ditabalkan sebagai Sultan Sulu. Nama sebenarnya ialah Datu Mohd Akjan dia telah di’tabal’kan oleh Datu Albi Ahmad Julkernain dan sebilangan bekas pemimpin United Tausug Citizen (UTC) yang kini telah pun berpecah belah, tetapi dia kemudiannya menyatakan majlis tersebut sebenarnya adalah sebuah kenduri kesyukuran. Menurut kenyataan yang diberikan oleh Datuk Eric Enchin Majimbun di Parlimen, Datu Mohd Akjan telah dibawa oleh bapa saudaranya, Hashirin Sumabud ke Kem Sibaud di Sandakan atas alasan keselamatan pada 11 November 1962 dan kemudiannya menjadi warganegara Malaysia. Dia adalah bekas tahanan ISA kerana dipercayai terlibat dalam sindiket pemalsuan kerakyatan dan pengeluaran Kad Pengenalan palsu.

Agak menghairankan apabila ayah Datu Mohd Akjan dikatakan bernama Sultan Sharif Ali Mohd Pulalun, kerana jika dirujuk dalam sejarah Kesultanan Sulu, cuma tercatat nama "Sultan Sharif Ali @ Sultan Barkat Ali" yang dianggap nenek-moyang kepada Keluarga Diraja Sulu & Brunei yang juga merupakan Sultan Brunei ke-3 yang memerintah sekitar 1400 -1424. Nama "Sultan Muhammad Pulalun @ Mohd. Fadl" pula memerintah Kesultanan Sulu pada tahun 1842-1862. Maka mustahil Sultan-sultan tersebut adalah ayah kepada Datu Akjan.

Kenyataan Datu Albi Ahmad Julkernain yang menyatakan Datu Akjan adalah "Direct-Descendent" kepada Sultan Shariful Hashim (Sultan Sulu Pertama) juga agak menghairankan dan mengelirukan. Mengikut fakta sejarah Kesultanan Sulu, jalur-terus keturunan Sultan Shariful-Hashim (Sultan Sulu Pertama) hanya sehingga Sultan Betarashah Tengah @ Panguilan Tindig ibni Sultan Pangiran Buddiman Ul-Halim. Dan dengan kemangkatan Sultan Betarashah Tengah yang tiada "Waris Lelaki", maka akhirnya anak buahnya yang bernama Pangiran Shahbandar Maharajalela @ Raja Bongsu ibni Sultan Muhammad Hassan di Brunei, telah ditawarkan untuk menaiki takhta kesultanan Sulu, yang kemudianya menjadi Sultan Sulu dengan gelaran Sultan Mawalil-Wasit-I @ Raja Bongsu.






Rujukan :

1) Asreemoro (2007) “Tausug & Kesultanan Sulu” Penerbit Saba

2) Nik Anuar Nik Mahmud (2009) “Tuntutan Filipina ke atas Borneo Utara (Cetakan Kedua)” Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia

3) Y.M. Datu Ali Aman @ Raja Muda Bongsu II ibni almarhum Sultan Aliuddin II

4) Julasri bin Hajan (Asreemoro) : 
http://tausug-global.blogspot.com/

5) Y.M. Datu Fazhir bin Datu Ali Kuyung : http://datufazhir-p2.blogspot.com

#hiSTORY# Siapa Sultan Sulu Yang Sebenar? Part 1


Bahagian 1-

Pada 4 April 2009 yang lalu, negara kita telah dikejutkan dengan satu tindakan kurang ajar dan biadap apabila seorang lelaki berketurunan Suluk, Datu Abdul Razak Datu Aliuddin, bersama 11 orang pengikutnya telah mengadakan perhimpunan haram dan bertindak membakar enam bendera Sabah di hadapan Pasaraya Milimewa dan Pasar Rakyat, Lahad Datu sekitar jam 8.30 pagi (Sabtu). Kesemua mereka adalah wargananegara Malaysia kerana memiliki mykad berumur antara 18 hingga 41 tahun yang tinggal di sekitar daerah Lahad Datu.
Datu Abdul Razak sebelum ini mengaku sebagai 'Sultan Sabah' yang berkuasa penuh ke atas negeri ini dan menggunakan cop mohor dan bendera Kesultanan Sulu telah beberapa kali mendapat liputan media masa tempatan sebelum kejadian ini.



Gambar menunjukkan bendera bergambar Singa yang digunakan Datu Abdul Razak kononnya adalah simbol yang digunakan oleh Kesultanan Sulu

Sultan Sulu???

Datu Abdul Razak sebenarnya bukanlah satu-satunya individu yang mengaku sebagai Sultan Sulu. Malah menurut satu sumber, terdapat 97 individu yang mengaku sebagai Sultan Sulu, terutamanya dari selatan negara Filipina. Malahan, terdapat beberapa ‘Sultan Sulu’ yang telah membina laman sesawangnya sendiri bagi menarik perhatian umum. Secara umumnya, para penyamar Sultan ini menggunakan gelaran Sultan of Sulu & North Borneo (Sabah), satu nama yang menunjukkan kebangangan mereka sendiri kerana secara tidak langsung, mereka mengakui Sulu dan Sabah sememangnya dua buah entiti yang berbeza. Jika mereka bijak sedikit, sudah pasti mereka menggunakan nama Sultan of Sulu Darul Jambangan, bagi menunjukkan keseluruhan wilayah Sultan Sulu yang meliputi Pulau Sulu, Basilan, Tawi-tawi, Selatan Palawan dan sebahagian Jambangan (Zamboanga). Kebanyakan 'Sultan' ini hanya menumpukan dua perkara semata-mata, iaitu hendak menuntut Negeri Sabah, serta mendapatkan wang pajakan dari Kerajaan Malaysia. Malangnya, jarang kedengaran 'Sultan Sulu' yang berjuang hendak memerdekakan kembali wilayah Kesultanan Sulu. Malahan, mereka sendiri sebenarnya tidak berkuasa langsung dalam aspek pemerintahan di 'wilayah' mereka di selatan Filipina, termasuklah 'Sultan Sulu' yang diiktiraf oleh Pemerintah Filipina!

"Pejabat Di-Raja" salah seorang penyamar Sultan Sulu di Filipina

Pingat & Darjah Kebesaran Sultan Sulu???

Antara sekian banyaknya ‘Sultan Sulu’, yang paling menarik perhatian sudah tentu Sultan Rodinood Julaspi Kiram, apabila tersebarnya berita dia telah menganugerahkan “Darjah Kebesaran Kesultanan Sulu” kepada beberapa orang rakyat Malaysia. Antaranya ialah enam artis Malaysia yang menerima pingat Seri Pengiran Diraja Sulu (SPDS) yang membawa gelaran Datuk Seri Pengiran iaitu kepada penyanyi 1960-an Jeffrey Din dan L Ramli, pelakon Mat Sentul dan penyanyi popular 1980-an, Azizul Khamis, Sheqal dan Salwa Abdul Rahman. Mantan isteri penyanyi Nash Lefthanded, Sosilawati Lawiya yang juga pengasas produk kecantikan Nouvelles Visage didakwa menerima Pingat Paduka Diraja Sulu (PPDK) yang membawa gelaran Datuk Paduka.

Seorang lelaki yang mendakwa sebagai Setiausaha Eksekutif dan Penyimpan Mohor Besar Diraja Sultan Sulu dan Borneo Utara, Putra Eddy T Sulaiman, mendakwa anugerah berkenaan diberikan berdasarkan sumbangan mereka dalam bidang hiburan. Beliau mendakwa, setiap penerima anugerah itu diberikan kad pengenalan khas yang membuktikan pengurniaan darjah kebesaran Kesultanan Sulu dan pemilihan penerima pingat itu dibuat secara teliti oleh jawatankuasa khas berdasarkan sumbangan mereka dalam bidang masing-masing. Sultan Sulu bercadang memberikan anugerah darjah kebesaran baginda kepada pengamal media di negara ini seperti wartawan dan jurugambar. Apa tujuan niat dan motif sebenar mereka memberi ‘Darjah Kebesaran’ kepada penyanyi dan akan datang, kepada wartawan ni, hanya Allah sahajalah yang tahu. Mungkin meniru idea sebuah negeri yang mengurniakan pingat ‘Datuk’ kepada seorang pelakon antarabangsa atas alasan ia dapat membantu mempromosikan sektor pelancongan negeri tersebut.



Apa yang menambahkan panas kepada berita tersebut adalah apabila seorang lelaki yang mendakwa waris Kesultanan Sulu, Datu Mudarasulail Kiram, mengatakan terdapat pihak tertentu yang menyebarkan risalah mengenai penganjuran ‘Majlis Penganugerahan Darjah Kebesaran Kesultanan Sulu’ dan disertakan dengan borang permohonan untuk memiliki darjah kebesaran tersebut lengkap dengan senarai harga bagi setiap anugerah. Penganjur majlis berkenaan didakwa menetapkan ‘harga’ bagi bayaran darjah Datuk Seri Panglima Diraja Sulu (SPDS) adalah RM220,000, selain Datuk Bendahara Diraja Sulu (DBDS) (RM150,000), Datuk Paduka Diraja Sulu (DPDS) (RM120,000), Datuk Pangeran Sultan Sulu (DPSS) (RM80,000) dan Datin Seri Sultan Sulu (DSSS) (RM80,000).



Penyelesaian???
Kesultanan Sulu mempunyai Tartib (Protokol) yang tersendiri termasuk dalam hal pewarisan takhta. Merujuk kembali kepada sejarah dan adat Kesultanan ini, Kesultanan Sulu sebenarnya mempunyai dua pewaris (digambarkan dalam bendera Sulu) seperti berikut :

i. Pewaris Pertama - iaitu dari zuriat keturunan Sultan Azimuddin / Alimuddin I ibni Sultan Badaruddin I dari isterinya gadis Bugis dari Soopeng, Sulawesi. Digambarkan dalam bendera Sulu dengan Lambang Keris. Terbahagi kepada dua keluarga :
a) Keluarga Kiram
b) Keluarga Shakiraullah
ii. Pewaris Kedua - iaitu dari zuriat keturunan Sultan Bantilan Muizzuddin ibni Sultan Badruddin I, dari isterinya seorang Puteri anak pemerintah Puak Tidung di Kalimantan Timur, dikenali sebagai Keluarga Maharajah Adinda. Digambarkan dalam bendera Sulu dengan Lambang Tombak.

Bendera asal Kesultanan Sulu


Bendera Kesultanan Sulu yang digunakan sejak Abad ke-17 bagi menggambarkan kewujudan dua Keluarga Pewaris



Kesultanan Sulu mewujudkan Pewaris Kedua sebagai "Penyelamat dan Penyambung" kepada Kesultanan Sulu, iaitu sekiranya hak Kesultanan Sulu berakhir di tangan Pewaris Pertama. Sejarah perkara ini perlu dilihat kembali kepada semasa pemerintahan Sultan Badaruddin-I ibni Sultan Salahuddin-Karamat yang memerintah sekitar tahun 1718 sehingga 1732. Putera sulung Sultan Badaruddin-I yang bernama Datu Lagasan menaiki takhta Kesultanan Sulu dengan gelaran Sultan Azimuddin @ Alimuddin I. Tetapi selepas pembaptisan baginda oleh para paderi Sepanyol di Manila sekitar tahun 1750, baginda telah menggunakan nama Don Fernando de Alimuddin (The Christian Sultan of Jolo). Jika mengikut hukum undang-undang kerajaan kesultanan Islam, hak Sultan Azimuddin / Alimuddin @ Don Fernando de Alimuddin dan keturunannya ini telah termansuh lantaran Pembaptisan baginda itu ke agama Kristian.

Sekitar tahun 1748, telah berlaku perbalahan di antara dua bersaudara ini. Oleh kerana Sultan Azimuddin @ Alimuddin-I telah memberikan kebenaran kepada para Jesuit dan Mubaligh Kristian Spanyol untuk menyebarkan doktrin agama Kristian di Sulu, maka perkara tersebut telah mendatangkan kemarahan kepada saudaranya, Raja Muda Datu Bantilan, yang merupakan putera Sultan Badaruddin I yang kedua. Bagi mengelakkkan perbalahan itu berpanjangan, akhirnya Sultan Azimuddin-I bersama putera dan puteri serta beberapa orang pengikutnya yang setia telah bertolak ke Zamboanga, dan kemudiannya ke Manila dan diberi sambutan dan layanan yang baik oleh para pegawai Sepanyol dan para Jesuit Kristian. Semasa ketiadaan Sultan Azimuddin @ Alimuddin I di Sulu, beberapa ahli Majlis Diraja Sulu dan rakyat Sulu telah bersetuju melantik Raja Muda Datu Bantilan menaiki takhta Sulu dan menjadi Sultan Sulu dengan gelaran sebagai Sultan Bantilan Muizzuddin. Baginda memerintah dari tahun 1748 sehingga 1763.

Takhta kesultanan Sulu kemudianya digilirkan antara beberapa pewaris daripada Keluarga Pertama dan Kedua ini. Hinggalah kepada Sultan Sulu yang terakhir daripada Keluarga Kedua iaitu Maharajah Adinda Sultan Muhammad Aranan Puyo. Namun, memandangkan usia beliau yang telah lanjut dan tua, beliau kemudian menyerahkan takhtanya kepada seorang pewaris daripada Keluarga Pertama iaitu Sultan Jamalul Azam. Takhta Sultan Sulu kemudiannya dimonopoli sepenuhnya oleh Keluarga Pertama yang kemudiannya dikenali dengan nama keluarga 'Kiram'. Memandangkan tempoh Maharajah Adinda Sultan Muhammad Aranan Puyo menaiki takhta tidak sampai seminggu, nama baginda sering digugurkan dalam senarai salasilah Sultan-sultan Sulu hingga menyebabkan hak keturunan Keluarga Kedua dinafikan dan tidak diketahui oleh para pewaris daripada Keluarga Pertama pada hari ini. Waris daripada Keluarga Kedua ini kemudian dikenali dengan nama keluarga 'Maharajah Adinda' dan mereka masih mempunyai hak untuk menuntut takhta Kesultanan Sulu jika ia termansuh disebabkan oleh tindakan daripada Keluarga Kiram ini.

Petunjuk daripada Geran Pajakan Penyerahan Kekal Sabah

Dalam geran yang ditandatangani bagi pajakan secara kekal bagi wilayah Sabah, dinyatakan sebanyak empat kali perkataan "Pewaris dan Penyambung" atau dalam Bahasa Inggerisnya "The Heir and Successor". "Pewaris" yang dimaksudkan disini ialah Keluarga Kiram yang ketika itu memonopoli jawatan Sultan Sulu, sementara "Penyambung" yang dimaksudkan ialah Keluarga Maharajah Adinda, yang berhak untuk menuntut kembali takhta Kesultanan Sulu sekiranya terjadi apa-apa perkara yang menyebabkan ianya termansuh oleh Keluarga Kiram. Pajakan yang dikurniakan oleh Sultan Sulu dahulu merupakan penyerahan secara kekal sebagaimana yang dinyatakan dalam perjanjian tersebut "selagi ada bintang dan cakerawala". Disebabkan itulah, mana-mana waris Kesultanan Sulu pada hari ini tidak boleh lagi mempersoalkan apatahlagi menuntut kekuasaan terhadap Negeri Sabah. Kuasa yang boleh dipohon oleh para waris Sultan Sulu yang benar-benar berhak hanya dari segi tuntutan wang pajakan semata-mata.


Pulau / Sepoh Janggi
Keturunan Waris Kesultanan Sulu merupakan saudara kepada Kesultanan Brunei. Sultan Mohammmad Hassan, Sultan Brunei ke-9, telah menyerahkan satu "Lambang Pusaka”, iaitu belahan biji benih Coco De Mer, yang dipanggil di Sulu sebagai "Pulau Janggi", dan di Brunei sebagai "Sepong/Sepoh Janggi". Pulau Janggi ini telah diberikan kepada Putera Bongsu / Pangiran Shahbandar Maharajalela, yang telah dihantar untuk menjadi Sultan Sulu sekitar tahun 1600 dengan gelaran Sultan Mawalil Wasit I.

Pulau Janggi @ Sepoh Janggi (Coco de Mer) ini hanya diamanahkan kepada Keluarga Maharaja Adinda, bukan kepada Keluarga Kiram atau Shakiraullah". Ini bertujuan sebagai bukti akan kesahihan hak pewaris kedua sebagai pewaris dan penyambung kepada Kesultanan Sulu (The Heirs and Successors). Juga merupakan pewaris yang sememangnya berkelayakan sepenuhnya untuk menuntut hak ke atas Wilayah dan Harta Milik Kesultanan Sulu iaitu sekiranya apa-apa perkara yang tidak diingini terjadi kepada Sultan Sulu daripada “Pewaris Pertama”.
Pulau Janggi @ Sepoh Janggi ini telah dipulangkan ke Muzium Brunei oleh Pewaris Maharajah Adinda yang bernama Datu Aliuddin Haddis Pabila bin Datu Syeikh pada 4 Mei 1978 dan telah disahkan kebenarannya oleh Pengarah Muzium Brunei pada masa itu. Pihak Muzium Brunei telah mengesahkan ketulenan Barang Pusaka tersebut dan mengesahkan hanya “Pewaris Kedua” sahaja yang berhak untuk menuntut takhta Kesultanan Sulu yang telah kosong pada hari ini.

Bersambung...

#Pray4LahadDatu : Pandangan Bekas PM Malaysia, Tun Mahathir Mohamad




Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad berpendapat kerajaan tiada pilihan lain kecuali melancarkan serangan balas terhadap penceroboh di Lahad Datu, dekat Sabah dan bersedia menghadapi kemungkinan serangan hendap yang berterusan di masa akan datang.

“Saya berpendapat kerajaan cukup berhati-hati dalam menangani isu ini dan berharap ia dapat diselesaikan tanpa pertumpahan darah.

“Tetapi malangnya berlaku pertumpahan darah dan usaha kerajaan kita tidak dihargai oleh penceroboh dari Sulu hingga sanggup membunuh anggota pasukan keselamatan negara.

“Sekarang ini, tiada jalan lain di pihak kerajaan selain melancarkan serangan balas supaya penceroboh dapat dihapuskan kerana mereka yang menyerang Sabah bukan kita yang menyerang mereka,” katanya kepada pemberita selepas program Himpunan Rakyat anjuran Persatuan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) di Dataran Bagan Serai yang dihadiri hampir 13,000 rakyat jelata dari sekitar Bagan Serai dan Parit Buntar.

Beliau berkata, isu ini tidak akan tamat begitu sahaja sebaliknya pihak penceroboh akan cuba melaksanakan serangan hendap di masa akan datang dan perkara ini tidak boleh dipandang ringan.

Tambahnya, kerajaan perlu membuat persediaan awal untuk menghadapi serangan hendap yang berturut-turut selepas ini.

Katanya lagi, pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) perlu dihantar untuk mengawal kemasukan sebarang bot dari selatan Filipina seperti bahagian Tawi-tawi dan Jolo kerana penceroboh mungkin cuba menyeludup bekalan senjata.

Ditanya mengapa pasukan tentera tidak dikerah untuk menangani isu itu di peringkat mula, Mahathir berkata, dalam negara ini, soal keselamatan negara dibahagikan kepada dua bahagian iaitu ancaman dari luar dan dalam negara.

“Pada mulanya kita lihat insiden di Lahad Datu ini bukan serangan luar kerana mereka berada dalam wilayah kita tetapi kini jelas serangan ini datang dari luar. Jusuteru itu, pihak tentera sudah diarah untuk mengambil bahagian,” katanya.

Beliau menambah lagi, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak sebagai penghasut dengan menawarkan janji kepada rakyat Sabah dan Kesultanan Sulu bahawa mereka akan mendapat 20 peratus royalti minyak serta status wilayah autonomi kepada negeri berkenaan.

“Jadi mereka (kumpulan) ini yakin dan percaya akan dapat menawan Sabah dan menubuhkan wilayah autonomi yang akhirnya bakal mencetuskan perang di negara kita,” tegas beliau lagi.

Mantan Perdana Menteri itu juga berkata, pada awalnya kerajaan begitu berhati-hati dalam menangani isu berkenaan kerana ramai rakan dan ahli keluarga penceroboh berada di Sabah.

“Sebab itu, kita berhati-hati pada mulanya kerana mereka juga umat Islam dan kita tidak mahu tergesa-gesa bunuh orang Islam. Apabila mereka tunjuk niat jahat dengan menembak mati dua anggota polis kita, maka kita tidak boleh anggap ia peristiwa yang boleh diselesaikan menerusi rundingan.

“Tindakan keras yang mungkin sebabkan ramai anggota penceroboh terbunuh dan rakyat kita juga menjadi mangsa akan berlaku tetapi tindakan keras harus diambil,” katanya lagi. - Perak Today

Krisis Lahad Datu : Anggota PDRM yang terkorban di Semporna

Ketua Polis Negara dan isteri serta seluruh warga Polis Diraja Malaysia mengucapkan salam takziah kepada keluarga 5 pegawai dan anggota PDRM yang terkorban dalam satu serang hendap sekumpulan lelaki bersenjata di Semporna. Mereka yang terkorban adalah:

1. Supt Ibrahim bin Lebar, Caw Khas, Bukit Aman.
2. ASP Micheal Padel, Caw Khas, IPD Semporna
3. Sjn/D Baharin bin Hamit, Caw Khas, IPK Sabah
4. Sjn Aziz bin Sarikun, BN 14 PGA Tawau
5. Kpl/S Salam bin Togiran, IPD Tawau
6. L/Kpl Mohd Azrul bin Tukiran, BN 14 PGA Tawau

Al-fatihah.Semoga roh wira-wira negara ini ditempatkan di kalangan orang beriman dan dicucuri rahmat.

Kepada ahli keluarga mendiang, diharap bersabar menerima kehilangan ini dan sesungguhnya seluruh pasukan turut menangisi pemergian beliau.

Friday, March 1, 2013

KRISIS #LAHADDATU - SENARAI NAMA ANGGOTA TERKORBAN ATAU CEDERA

Berikut adalah senarai anggota komando PDRM atau VAT69 yang terkorban dan cedera sewaktu serangan mortar dalam krisis Lahad Datu : (sehingga jam 1400)

1. Inspektor 17992 Zulkifli B. Mamat (terkorban)

2. Koperal 113088 Sabarudin B. Daud (terkorban)

3. Koperal 152133 Mohd Tarmizi B. Hashim (cedera di tangan dan kaki) (ditempatkan di Hospital Lahad Datu)

4. Koperal 135383 Azman B. Ampong (cedera di punggung/peha) (ditempatkan di Hospital Lahad Datu)

5. Konstabel 176533 Mohamad Qaiyum'aiqal B. Zolkifli (cedera di bahu kanan & kedua-dua kaki) (ditempatkan di Hospital Sandakan).

Semoga rakyat Malaysia terus tabah dan memberikan sokongan kepada anggota kita yang bertugas.

SUMBER: Sabahan.FM

p/s: Sama-sama sedekahkan Al-Fatihah buat arwah

1313: Konflik Lahad Datu Sampai Kemuncak




LAHAD DATU: Jumlah individu yang maut atau cedera dalam insiden tembakan balas di antara pihak keselamatan Malaysia dan pemberontak Sulu dipercayai meningkat.

Selepas laporan pertama yang melaporkan dua pengikut Sulu terbunuh dan tiga anggota polis Malaysia cedera, maklumat yang diperoleh dari Kampung Tanduo di sini mendakwa sekurang-kurangnya 10 lelaki Sulu bersenjata mati dan empat lagi cedera.

Namun, tiada laporan mengesahkan mengenai empat anggota keselamatan yang cedera atau berlaku sebarang kematian.

Bagaimanapun, wartawan di pintu masuk Felda Sahabat 17 menuju ke Kampung Tanduo melihat dua mayat diusung menaiki jip oleh kakitangan perubatan pasukan keselamatan Malaysia.

Keluarga Sultan Kiram mengesahkan di Manila bahawa sekurang-kurangnya 10 anggotanya maut manakala empat lagi cedera.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib enggan memberi komen dan memberitahu satu sidang media akan diadakan kemudian.

Sejak itu, pelbagai laporan mengenai bilangan individu yang cedera atau maut mula tersebar. - MStar