Wednesday, September 5, 2012

popmycase.com


Gajet dapat sentuhan kreatif selebriti



WALAUPUN pernah berkolaborasi dengan syarikat jenama terkenal antarabangsa seperti Fendi, Piaget dan Levis melalui karya kreatifnya, Marini Ramlan, 34, tidak pernah mendabik dada dengan kejayaan dan penghormatan tersebut.
Dia yang lebih dikenali dengan nama Nini Marini itu merasakan setiap pelukis mempunyai cara dan identiti tersendiri dalam setiap penghasilan karya mereka. Baginya, terjemahan kreatif itu menggambarkan emosi dan juga ekspresi seseorang pelukis.
Namun, sekiranya seseorang pelukis itu diberi peluang untuk menjalin kerjasama dengan syarikat-syarikat besar untuk tujuan mempromosikan hasil karya mereka, itu merupakan suatu bonus untuk penggiat seni kreatif sepertinya.
Baru-baru ini, enam hasil karya Nini Marini telah dipilih oleh syarikat sarung telefon bimbit dan gajet, Popmycase untuk menghasilkan kaedah pengubahsuaian sarung telefon dan gajet.
Nini Marini ternyata tidak keseorangan apabila dua selebriti terkenal tempatan iaitu Amy Search dan Bunkface bersama enam penggiat seni jalanan tanah air iaitu Orkibal, Spoonman, Sheiko, Kukubesi, TheSuperSunday dan Art:Tech juga telah dipilih oleh syarikat tersebut.
Popmycase merupakan syarikat pertama di rantau Asia yang mengkhususkan rekaan dan pengubahsuaian sarung telefon pintar dan gajet pengguna. Syarikat itu juga membolehkan pengguna memuat naik gambar kegemaran untuk dizahirkan pada sarung telefon pintar mereka.
Meminati bidang seni lukisan sejak berumur enam tahun, Nini Marina ternyata sering menyelitkan elemen-elemen corak dan haiwan untuk dalam setiap karyanya.
"Untuk kolaborasi bersama Popmycase, saya telah menyumbang sebanyak enam hasil lukisan untuk pilihan peminat-peminat karya seni lukis untuk dizahirkan pada sarung telefon dan gajet canggih mereka.
"Kolaborasi saya dan rakan-rakan penggiat seni lukis yang lain dengan Popmycase mampu mengetengahkan lagi bakat serta kewujudan pelukis-pelukis Malaysia kepada orang ramai," jelasnya yang juga terlibat dengan industri media tanah air.
Enam koleksi daripada Nini Marini ialah The Fire Bird, Fishes, Fleurs, Ayoki, Peacock Feather danShelves itu mampu menjadikan sarung telefon bimbit dan gajet muda-mudi masa kini berada dalam kelas yang tersendiri.
Elemen corak yang digabungkan dengan haiwan juga memberikan mood yang berbeza kepada sesetengah individu dan corak tersebut juga menjadi trend kepada golongan muda.
"Corak The Fire Bird, yang menggambarkan seekor burung phoenix yang sedang berterbangan merupakan antara corak yang sering ditempah oleh penggemar sarung telefon bimbit Popmycase," ujarnya yang juga aktif dalam mengajar seni lukisan kepada kanak-kanak di Pusat Aktiviti Kanak-Kanak: Yayasan Chow Kit.
Bagi Nini Marini, peluang untuk berkolaborasi dengan Popmycase juga merupakan salah satu kaedah untuk pelukis-pelukis tempatan untuk melebarkan hasil karya mereka ke luar negara kerana produk tersebut juga didatangkan bersama perkhidmatan penghantaran.

JOSAFRI (empat dari kiri) bersama dengan artis, pelukis dan pereka seni grafik tanah air yang telah menyumbangkan karya kreatif mereka untuk Popmycase pada sesi pelancaran sarung telefon bimbit dan tablet itu baru-baru ini.


Tandatangan istimewa
Legenda rock tanah air, Amy Search pula mempunyai kisah tersendiri apabila sarung iPhone 4S miliknya yang tertera gambar dan juga tandatangannya itu telah menarik perhatian rakan-rakan artis malah peminat-peminat beliau.
"Ramai yang sering bertanya kepada saya, bagaimana saya boleh mencetak gambar saya pada sarung iPhone 4S ini?
"Jawapan saya mudah, ini merupakan teknologi terbaharu yang dihasilkan oleh Popmycase dan secara tidak langsung ia turut mempromosikan sarung rekaan terbaharu saya kepada rakan-rakan artis serta peminat saya," ujarnya.
Walaupun Amy tidak mencipta atau melukis rekaannya sendiri, sarung telefon yang memaparkan gambarnya itu mempunyai aura tersendiri dan turut menarik peminat tegar vokalis kumpulan rock itu untuk mengetahui lebih lanjut mengenai sarung tersebut.
Menurut Amy, sarung keluaran telefon Popmycase itu merupakan salah satu koleksi rasmi yang harus dimiliki oleh para peminatnya.
"Segala idea dan reka bentuk sarung telefon saya ini sepenuhnya datang daripada saya dan pihak Popmycase bertanggungjawab mencetak setiap gambar saya pada sarung telefon dengan sempurna.
"Ini juga merupakan salah satu peluang perniagaan yang telah diberikan oleh pihak Popmycase kepada saya dan saya berasa amat berbangga kerana syarikat tersebut telah memberi kepercayaan kepada saya," jelasnya yang kini dalam perancangan untuk mencipta dan melukis rekaan sendiri untuk peminat-peminatnya.
Aplikasi yang terdapat di laman web memberikan kebebasan kepada pengguna untuk membesarkan gambar atau imej dan menggabungkan pelbagai corak serta warna untuk rekaan sarung telefon pintar. Ia nyata berbeza dengan rekaan sarung telefon pintar di pasaran.
Amy turut memberitahu, sarung telefon pintar daripada Popmycase juga mudah untuk disarungkan pada iPhone 4S miliknya dan mudah untuk dibawa ke mana-mana.
"Saya sudah menggunakan sarung telefon bimbit selama beberapa bulan dan sepanjang tempoh saya menggunakannya, telefon saya telah beberapa kali terjatuh dan tiada keretakan mahupun kerosakan yang berlaku kepada telefon kesayangan saya ini," jelasnya.
Aspek kualiti juga menjadi perhatian Popmycase. Bahan-bahan untuk menghasilkan setiap sarung itu menggunakan Lexan iaitu jenama resin polikarbonat yang tahan lasak, ringan, fleksibel dan memberikan perlindungan pada gajet.
Lexan pernah digunakan oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) dan menjadi bahan binaan untuk jentera kereta lumba Formula One (F1).

APLIKASI di laman web memudahkan peminat sarung telefon bimbit untuk mengubah suai sarung telefon bimbit dan tablet mengikut cita rasa mereka.


Langkah mudah
Pengarah Digital Kumpulan Popmycase, Riz Ainuddin turut memberikan informasi yang lengkap mengenai cara-cara untuk menggunakan aplikasi di laman web tersebut.
Menurutnya, pengguna-pengguna disarankan untuk memuat naik gambar atau imej yang mempunyai resolusi besar untuk mengelakkan gambar pilihan itu pecah sewaktu proses pencetakan dilakukan.
"Dengan hanya tiga langkah mudah iaitu pilih jenis telefon pintar anda, muat naik gambar atau karya seni anda kemudian ia sedia untuk dihantar ke rumah.
"Pengguna juga boleh mengubahsuai rekaan sarung telefon pintar itu mengikut cita rasa mereka sendiri malah mereka juga diberi pilihan untuk memilih rekaan artis-artis dan pelukis.
Lebih menarik, pengguna boleh memuat turun gambar kegemaran mereka terus daripada komputer, tablet, Facebook atau Instagram ke laman web tersebut.
Tambah Riz, bagi menjaga kualiti, Popmycase menggunakan teknologi percetakan secara penerapan dakwat (ink-embedded process).
Melalui teknologi tersebut, tekanan dan haba ketuhar akan mencetak rekaan dengan cara meresap terus ke dalam permukaan sarung telefon pintar bagi menghasilkan rekaan dengan imej sangat jelas dan tidak mudah pudar.

No comments:

Post a Comment